jump to navigation

Rumah Sidim December 30, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
trackback

Assalamualaikum,

Semalam saya sempat melihat sepintas lalu dan banyak pintas (bahasa??) lalu juga perihal Rumah Sidim ini.  Hari ini terjumpa tulisan lanjut berkenaan Rumah tersebut seperti link dibawah.

http://intim.wordpress.com/2007/06/16/kisah-benar-penghuni-sidim-anak-derhaka/

dan lagi tulisan mengenai Rumah Sidim seperti dibawah:

MAZIDAH Hakim, 50, (bukan nama sebenar) kini mengalami masalah pendengaran selepas gegendang telinga kanannya rosak dan kepalanya bengkak akibat kerap dibelasah anak lelakinya berusia 25 tahun. Ada ketikanya kepalanya dihentak ke dinding.

Tidak cukup dengan itu, anak yang menagih pelbagai jenis dadah itu turut bertindak kejam terhadap bapanya, Amran Ibrahim, 54, termasuk pernah ditumbuk sehingga lebam sebelah mata, jika permintaannya tidak dipenuhi.

Ikuti luahan hati Mazidah seperti diceritakan kepada wartawan Metro Ahad, FUAD HADINATA YAACOB ketika ditemui baru-baru ini.

Ludah lauk satu periuk

“KEJADIAN ini bermula kira-kira lima tahun lalu apabila anak sulung saya yang ketika itu berusia 20 tahun mula menagih pelbagai jenis dadah, termasuk ganja, syabu dan gam.

Sejak itu, boleh dikatakan hampir setiap minggu, dua atau tiga kali saya jadi mangsa kaki dan tangannya kerana hanya saya yang tinggal di rumah. Memang sakit telinga, badan dan kepala sehingga gegendang telinga sebelah kanan saya rosak dan kurang pendengaran.

Dia minta wang tak banyak, tetapi kerap. Ada ketika RM5, setengah jam selepas itu RM2 dan beberapa minit kemudian RM1. Mahu atau tidak, saya yang tidak bekerja ini perlu sediakan sekurang-kurangnya RM12 sehari untuk dia.

Malah, bila suami balik, dia minta dengan suami pula dan setiap kali sebelum pulang, suami perlu sediakan wang kecil kerana dia tahu anak kami akan minta. Jika tiada wang kecil, dia sanggup tukar.

Pernah saya tiada wang untuk diberi, tanpa perasaan kasihan, dia tampar saya. Ada ketikanya dia menghentakkan sikunya ke atas kepala saya sehingga bengkak. Dia juga sanggup tendang belakang saya sehingga terjatuh dan menghantukkan kepala saya ke dinding.

Setiap kali dia balik rumah, saya takut kerana apabila khayal, dia bertindak di luar batasan. Barang dalam rumah habis dipecahkan, malah periuk tembaga yang sukar ditemui hari ini, turut dijual.

Apabila kami tiada di rumah ketika balik kampung, saya kunci pintu bilik. Apabila tak dapat masuk, dia pecahkan pintu dengan tukul besi. Tingkap rumah kami diganti banyak kali, begitu juga barangan dalam rumah.

Kami perlu ikut kemahuan dia, jika tidak dia bertindak kasar. Selain perbelanjaan setiap hari, pada hujung bulan dia minta kami belikan pakaian berjenama seperti seluar atau baju bernilai ratusan ringgit.

Saya dan suami tidak mampu menolak kerana bimbang dia bertindak lebih agresif tetapi selepas seminggu beli, kami tidak tahu ke mana perginya pakaian itu.

Bukan itu saja, sejak anak lelaki saya ada lesen, suami beli lapan motosikal tetapi satupun tiada hari ini. Ada yang dia jual, rosak dan ditarik kerana tak bayar ansuran. Malah, kami yang tanggung segala perbelanjaan seperti cukai jalan, insurans dan kerosakan.

Selain saya, suami juga jadi mangsa. Jika suami tak beri atau tiada duit masa dia minta, dia marah, malah sampai satu tahap dia sanggup pukul ayah dia sehingga lebam sebelah mata.

Dua adiknya juga jadi mangsa. Jika mahu makan makanan segera, dia minta adiknya beli. Malah, setiap kali dapat gaji, adiknya pasti beli pelbagai makanan dan minuman sehingga penuh peti sejuk. Ini kerana, jika apa yang dia minta tak dapat atau tak ada, dia marah dan mengamuk sehingga adik perempuannya dipukul dan ditendang.

Di rumah ini, televisyen bersaiz besar yang ada, dia yang minta, begitu juga dengan pengubahsuaian rumah. Mengenai makanan yang saya masak, dia sangat memilih. Ikan kecil dia tak suka, malah dia tergamak kata saya seperti nak beri makan kucing jika masak lauk ikan kecil.

Dia hanya makan ikan bersaiz besar dan mahal. Malah, jika ada lauk yang saya masak dia tak suka, dia sanggup meludah makanan itu sesuka hati, termasuk nasi.

Pernah saya masak kari ikan dalam satu periuk besar kerana kami anak-beranak berkumpul di rumah pada hari itu, tiba-tiba dia meludah ke dalamnya. Saya sedih dan kami terpaksa makan di luar. Kerana itu, kami selalu keluar makan disebabkan tekanan yang dihadapi.

Dia balik saja rumah, kami tertekan dengan keadaannya yang tak terurus, berbau busuk dan khayal. Sebab itu suami selalu bawa saya dan anak keluar berjalan. Bayangkan, jika saya dan suami tertekan, kami sanggup pergi ke Tanjung Harapan atau Pulau Indah, Klang jam 12 tengah malam atau 1 pagi untuk tenangkan fikiran.

Selain itu, bila suami tertekan sangat, dia selalu bawa kami pergi ke tempat yang tidak dirancang. Pernah pada satu hari, bila suami isi minyak kereta, dia tak mahu balik rumah dan ajak saya dan anak ke Langkawi tanpa membawa pakaian.

Kami beli pakaian di sana dan tenangkan fikiran. Ada juga suami tanpa dirancang membeli tiket kapal terbang ke Sarawak untuk saya dan dia ke sana selama tiga hari semata-mata untuk meredakan ketegangan.

Memang setiap kali saya atau suami ada di rumah, kami tertekan dengan sikap anak lelaki. Bukan kami tidak buat laporan polis, semua sudah dilakukan, begitu juga melaporkannya kepada agensi bertanggungjawab.

Saya dan suami juga berusaha memulihkannya dengan pelbagai cara, malah dari Johor hingga Perlis sudah kami jelajahi semata-mata mahu anak kami pulih dan menjadi normal.

Pelbagai usaha kami buat seperti ambil air kolah tujuh masjid, cari air terjun dan puasa pada hari lahirnya yang mungkin sukar dilakukan ibu bapa lain, tetapi kami lakukan. Setiap malam, kami buat sembahyang hajat, tahajud dan berdoa untuk melembutkan hati anak kami supaya kembali ke pangkal jalan.

Saya dan suami buntu sehingga ke satu tahap, kami pergi ke tanah perkuburan, menggenggam tanah kubur dan berdoa kepada Allah SWT. Kami memohon, jika Allah SWT hendak memanjangkan usianya, jadikanlah dia manusia yang baik, jika tidak kami sanggup ‘menyerahkannya’ semula kepada Tuhan. Ambillah supaya dia tak lakukan dosa lagi.

Malah, suami saya reda dan rela jika ditakdirkan anak kami meninggal dunia dalam keadaan apa sekalipun, dia sanggup uruskan mayatnya.”

Jangan salahkan kami

“JANGAN salahkan ibu bapa semata-mata jika anak jadi liar atau bertindak di luar batasan,” kata Amran mengenai pengalaman yang dilalui bersama isteri akibat perbuatan anaknya.

Katanya, ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak mereka menjadi manusia baik dan berjaya, namun apa yang berlaku seperti dihadapi mereka di luar keupayaan.

Katanya, sebagai bapa, dia sudah memberi didikan terbaik, termasuk pendidikan agama supaya anak lelaki yang disayangi menjadi manusia berguna.

“Percaya atau tidak, sebenarnya sejak anak lelaki kami di sekolah tadika (taman didikan kanak-kanak) lagi, saya mula mengubatinya dengan meminta air penawar daripada tokoh agama untuk melembutkan hatinya apabila melihat kenakalannya.

“Malah, selama tiga tahun iaitu dari tingkatan satu hingga tiga, saya masukkan dia ke sekolah agama pondok dengan harapan apabila keluar nanti, sekurang-kurangnya dia boleh jadi bilal di masjid,” katanya.

Namun, katanya, semuanya berubah apabila selepas tamat pendidikan di sekolah agama itu, anak lelakinya enggan menyambung persekolahan lagi, sekali gus hanya menerima pendidikan akademik setakat tingkatan tiga.

Amran berkata, dia tidak mampu menghalang tindakan anaknya kerana jika berkeras, dia bertindak agresif.

“Selepas tidak mahu bersekolah, dia ada bekerja tetapi hanya sementara. Apabila dapat gaji, dia tidak pergi kerja. Saya tidak mampu buat apa-apa, sudah nasihat dan melakukan pelbagai cara dengan harapan dia dengar dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Menurut Amran, sikap anak lelakinya semakin agresif ketika berusia 20 tahun selepas dia mengambil dadah.

“Pelbagai cara kami lakukan untuk mengubatinya, namun belum ada kejayaan. Sepanjang berdepan dengannya, saya gunakan psikologi kerana kami tak boleh bertindak kasar, bimbang dia bertindak di luar jangkaan,” katanya yang mengakui sangat tertekan dengan masalah itu.

Amran berkata, setiap kali bertemu rakan atau mereka yang pakar, dia tidak segan atau malu memberitahu masalah anaknya, malah pergi ke tempat di mana saja dikatakan yang boleh memulihkan anak lelakinya.

Sepanjang berusaha memulihkan anaknya, Amran dan isterinya tidak pernah berputus asa hinggalah pada satu hari dia terbaca akhbar Metro Ahad mengenai Rumah Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim).

“Isteri beritahu saya mengenai artikel itu, pada mulanya saya kurang berminat, tetapi apabila ada nombor telefon bimbit Ustaz Hanafi Malek (Pengerusi Sidim), saya yakin dan terus menghubunginya.

“Selepas berjaya bercakap dengan ustaz, saya diminta hadir untuk satu program di Masjid KLCC (Kuala Lumpur City Centre). Ketika itu, saya hanya ada RM70, sedangkan pendaftaran seorang RM30. Namun, atas belas ihsan ustaz, saya dan isteri dibenarkan turut serta,” katanya.

Selepas pertemuan itu, Amran melalui doa yang diberikan Hanafi menghantar anaknya ke Sidim. Katanya, meskipun anaknya marah dan memberontak, ia dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya berharap dia betul-betul pulih sebelum pulang ke rumah dan kalau boleh saya mahu dia menetap di sana melakukan apa-apa kerja supaya tidak kembali kepada perangai lama.

“Saya tahu, dia lebih banyak terpengaruh dengan rakan selama ini dan selepas ini, saya berdoa masyarakat dapat terimanya kembali, bukan menghina,” katanya.

Comments»

1. en_me - December 30, 2008

sedihnyerrr.. kannns


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: