jump to navigation

Ilmu, ibadat mensejahterakan kehidupan October 9, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
trackback

‘Entri kali ini berkongsi tulisan Oleh Nik Salida Suhaila yang diperolehi daripada Berita Harian Online. Semoga mendapat manfaat.’

 

Untuk menjadi penghuni syurga perlu penuhi piawaian ditentukan Allah

 

TIADA siapa menginginkan kehidupan sengsara, derita dan penuh keperitan. Tetapi ada juga yang harus merasainya kerana itulah ditakdirkan Allah sebagai ujian. Kasih sayang Allah akan lebih terasa setelah Dia menghilangkan penderitaan jika kita berjaya melaluinya dengan tabah.

 

Bahkan, kita akan lebih menghargai kehidupan. Kehidupan sejahtera memang diimpikan semua, apatah lagi sejahtera di akhirat sana yang kekal abadi. Justeru, mencari kesejahteraan hidup di dunia semata-mata adalah merugikan.

 

Memang benar, akhirat belum tentu menjamin kesenangan semua orang kerana perhitungan Allah di Padang Mahsyar adalah pasti. Tetapi sebagai orang Islam, kita harus mengendalikan hidup di dunia dengan sebaiknya mengikut landasan syariat ditetapkan dengan harapan tugas di dunia membawa untung di akhirat.

 

Sejahtera merujuk kepada suatu keadaan yang baik, yang mana orangnya berada dalam kemakmuran, sihat dan aman damai. Kesejahteraan hidup adalah sesuatu yang penting dalam Islam sehinggakan ia menjadi ucapan kita kepada umat Islam lain hampir setiap masa dan ketika.

 

Lafaz salam iaitu ‘Assalamualaikum‘ yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu wajib hukumnya dijawab dengan doa juga iaitu ‘waalaikumsalam’ yang bermaksud salam sejahtera juga ke atas kamu. Malah ada yang jauh berkirim salam melalui perantaraan tanda kasih yang kukuh termeterai antara umat Islam.

 

Setiap kali selepas solat pula kita berdoa, “Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat dan jauhkanlah aku daripada azab api neraka.”

 

Dalam mencari kesejahteraan hidup, setiap manusia perlu mengetahui bahawa rasa selesa dan bahagia serta cukup dengan apa yang ada semata-mata bukanlah tanda hidup sejahtera. Sebaliknya, aspek dalaman dan luaran perlu dilengkapi sewajarnya.

 

Aspek dalaman dimaksudkan seperti kesihatan tubuh badan dan mental yang waras. Sementara aspek luaran pula ialah seperti ekonomi yang baik, kemampuan memenuhi keperluan masyarakat, bebas daripada ancaman bahaya jenayah, kebebasan asasi yang dipelihara, saling hormat, lengkap-melengkapi dan mengambil berat antara satu sama lain, alam sekitar yang kurang pencemaran serta kaya sumber asli.

 

Melihat kepada amalan ucapan dan doa untuk kehidupan sejahtera, kita melihat pentingnya kesejahteraan hidup. Sebagai umat Islam, kita bukan hanya hidup di dunia, tetapi juga di akhirat.

 

Allah berfirman yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan ia Maha Kuasa untuk membalas amalan kamu dan Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat.” – (Surah al-Mulk, ayat 2)

 

Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin menceritakan kesejahteraan dalam syurga di akhirat kelak dengan berkata, ciri-ciri kebahagiaan di akhirat boleh dibahagikan kepada empat iaitu keadaannya kekal abadi selama-lamanya, kegembiraannya berkekalan dan tiada langsung kesedihan, sebab itu semua penghuni syurga adalah orang muda, tiada yang tua kerana kemudaan adalah kegembiraan serta tiada lagi kejahilan, kerana manusia sudah dengan pasti mengetahui yang haq setelah melalui kematian, hari kiamat dan hisab di Padang Mahsyar dan tiada lagi kemiskinan, kerana kekayaan yang diperkenankan Allah adalah petanda kehidupan yang sejahtera.

 

Allah berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap jiwa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat akan disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia beruntung. Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”  (Surah Ali-Imran, ayat 185)

 

Tetapi perlu diingat bahawa syurga itu milik Allah, jika berhasrat untuk menjadi penghuni syurga kita perlulah mengikut syarat dan piawaian yang ditentukan Allah, iaitu melakukan apa diperintahkan, menjadikan Islam sebagai aqidah dengan mengingati dan memahami Rukun Iman, menjadikan Islam sebagai syariat dengan mengingati dan menghayati Rukun Islam.

 

Selain itu hendaklah mengamalkan hukum yang ditentukan Allah kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Islam hendaklah menjadi ibadat kerana ibadat bukti akidah kita kepada Allah serta menjadikan Islam sebagai akhlak dengan mencontohi Rasulullah SAW.

 

Sempena Syawal ini, molek benar andai kita bertekad untuk mencari kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Mengharungi hidup di dunia yang penuh tipu daya sesungguhnya menjadikan kita sentiasa berhati-berhati kerana tidak rela menjadi si dungu yang tertipu dengan mudah.

 

Umat Islam perlu jadikan ilmu sebagai perisai menghadapi tentangan hawa nafsu yang datang bersilih ganti setiap masa sehingga kadangkala tidak memberi ruang untuk kita mengingati Dia. Paling penting, jadikan Islam sebagai akidah, syariat, ibadat dan akhlak, semoga kita sentiasa terpelihara di bawah lindungan-Nya. Sesungguhnya Islam adalah cara hidup.

 

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: