jump to navigation

Aku manusia berdosa. August 25, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
trackback

 

 

Aku manusia penuh noda. Benar, di mata akal ku yang terhad ini, insan mumayyiz seperti ku ini memang menyedari dosa-dosa yang ku lakukan. Aku lantas menghukum diri. Tuhan tidak mungkin mengampunkan daku!

 

Hina benar diriku ini, sudah lah aku ini berdosa, aku nafikan pula kasih dan sayang Allah. Allah itu Maha Pengampun. Cuma aku yang tidak sabar dalam memohon keampunan. Aku cepat putus asa dengan rahmat Allah. Yang lemah itu diri ku, Yang lupa itu diri ku, Yang putus asa itu diriku. Yang buruksangka itu diriku.

 

Aku tidak seharusnya malu dengan Allah. Malah amat perlu aku banjiri benak ku ini dengan zikir taubat, Amat perlu aku hiasi masa lapang ku itu dengan zikir kesyukuran.

 

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sejijik mana diri ku ini, aku perlu gigih bertaubat setiap detik dan pada setiap hirupan nafasku agar terampun dosa-dosa ku.

 

Hadis ini ku petik dari Shahih Bukhari yang diterbitkan oleh Klang Book Centre. Hari ini kali ketiga aku membacanya, hati aku remuk… riak wajah ku sebak, kerana aku malu pada diriku sendiri… aku telah berputus asa dengan kasih sayang Allah.

 

Ya Allah, kau berikan lah aku cinta kepada Mu, dan berikanlah cinta para Anbia pada Mu itu kepada ku. Agar dapat aku rasa kasih sayang Mu sampai akhir hayat ku. Agar dapat ku mengerti dengan seluruh ragaku, yang titah perintahMu itulah yang aku harus turuti sampai aku mati. Agar dapat ku akui, larangan Mu itulah yang perlu aku hindari selamanya sehingga nyawaku terhenti.

 

Terimalah hadis yang meruntunkan hati ku akan agungnya kasih sayang Allah Yang Maha Agung:

 

Dari Abu Hurairah R.A. katanya: Ada beberapa orang bertanya: “Ya Rasulullah! Adakah kami melihat Tuhan di hari kiamat?” Jawab Nabi S.A.W. “ Adakah kamu ragu menampakkan matahari yang tidak ditutupi awan?” Jawab mereka “ Tidak ya Rasulullah!”

Tanya Nabi S.A.W ” Adakah kamu ragu menampakkan bulan di malam purnama yang tidak ditutupi awan?”Mereka menjawap “Tidak, ya Rasullullah!”

Nabi S.A.W berkata” Sesungguhnya begitulah kamu melihat Tuhan di hari kiamat.”

 

Tuhan akan mengumpulkan manusia (di hari kiamat), lalu Dia berfirman:

“ Siapa yang menyembah sesuatu, hendaklah diikutinya!”

Lalu orang yang menyembah matahari, yang menyembah bulan, yang menyembah berhala mengikuti pujaannya. Maka tinggalah umat ini ( yang menyembah Allah) termasuk orang-orang munafik.

 

Maka datanglah Tuhan kepada mereka dalam rupa yang bukan mereka ketahui, lalu Dia berkata” Aku Tuhan mu,” Mereka berkata “ Kami berlindung kepada Allah terhadap engkau. Kami akan tetap disini, sampai Tuhan kami datang. Apabila dia datang nescaya kami akan mengenalNya.”

 

Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka kenal dan berkata “ Aku Tuhan kamu.” Mereka menjawab “Engkau Tuhan kami!” Mereka hendak mengikuti Tuhan. Maka dibentangkan titian melintasi neraka.

 

Rasulullah S.A.W bersabda “ Akulah orang pertama melalui titian itu. Doa rasul-rasul ketika itu ialah “ Ya Allah, selamatkan, selamatkan!” Pada titian itu ada beberapa kaitan, serupa dengan duri kayu Sa’dan. Sudah pernahkah kamu melihat duri kayu Sa’dan itu?” Mereka menjawab “Sudah, ya Rasulullah!” Kata Nabi “Sesungguhnya kaitan itu serupa kayu Sa’dan, tetapi ukuran besarnya hanya Allah yang mengetahui. Setiap orang disambarnya menurut amalan masing-masing. Ada yang binasa kerana amalnya dan ada yang terganggu, kemudian terselamat.

 

Setelah Allah selesai mengadili hamba-hambaNya dan hendak mengeluarkan dari neraka siapa yang hendak dikeluarkanNya, dari orang yang pernah mengucapkan pengakuan, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, diperintahkanNya malaikat mengeluarkan mereka dari neraka dan dapat dikenal dengan bekas sujud (sembahyang). Tuhan melarang api neraka memakan (membakar) bekas sujud itu. Lalu disiramkan kepada mereka air yang dinamakan “air kehidupan”. Maka tumbuhlah dibadan mereka bagai bibit di atas sampah bekas banjir”

 

Tinggal lagi seorang yang muka nya mengadap ke neraka dan dia berdoa “ Ya Tuhan! Sesungguhnya sangat menyakitkan aku bau neraka dan nyalanya membakar aku. Sebab itu, palingkan muka ku dari neraka!” Orang itu terus berdoa dan Tuhan menjawab “ Boleh jadi jika permintaan engkau itu Aku beri, engkau akan meminta lagi yang lain?” Jawabnya “ Demi kekuasaan Engkau, aku tidak akan meminta lagi yang lain.” Lalu dipalingkan Tuhan mukanya dari neraka.

 

Sesudah itu dia memohon lagi. “Ya Tuhanku! Dekatkanlah kiranya aku kepintu syurga!”

Tuhan berkata “Bukankah engkau telah mengatakan, tidak akan meminta lagi hal yang lain? Ah, Anak Adam! Engkau amat penipu!”

 

Orang itu sentiasa berdoa, lalu Tuhan menjawab “Boleh jadi jika permintaan engkau itu Aku beri, engkau akan meminta lagi yang lain?” Jawabnya “ Demi kekuasaan Engkau, aku tidak akan meminta lagi yang lain.” Di kemukakan Allah perjanjian yang dikehendakiNya, bahwa orang itu tidak akan meminta lagi yang hal yang lain. Lalu didekatkan Tuhan kepintu syurga. Setelah dilihatnya apa yang ada dalam syurga, dia diam barang seketika.

 

Sesudah itu dia memohon lagi “Ya Tuhanku! Masukkan aku ke dalam syurga!” Tuhan berkata lagi “Bukankah engkau telah mengakui tidak akan meminta kepada Ku tambahannya” Ah, anak Adam engkau amat penipu!” Lalu dia memohon “Ya Tuhanku, janganlah kiranya Engkau jadikan aku makhluk yang amat malang!”

 

Orang itu senantiasa berdoa, sampai Tuhan gembira. Setelah Tuhan gembira, diizinkannya orang itu masuk ke dalam syurga. Setelah dia masuk syurga, dikatakan kepadanya “Kemukakan keinginanmu selain ini!” Lalu dikemukankan keinginannya. Dikatakan lagi kepadanya “Kemukakan keinginanmu selain ini!” lalu di kemukakannya segala keinginanya sampai habis segala keinginannya. Lalu Allah berfirman “ Semua ini untuk engkau dan ada lagi tambahannya sebanyak itu pula.”

 

— Hadis berakhir –

 

Lidah ku kelu. Begitu besar Pengampunnya Allah. Sukar digambarkan. Itu  syurga di akhirat. Bagaimana syurga di dunia agaknya.

 

Akal ku yang cetek ini, mengangguk bahawa jika taubat di panjatkan setiap waktu, doa di tadahkan lewat solatku. Pasti ada syurga dianugerahkan di dunia ini juga. Bukan mahligai tersergam, bukan kereta menjalar tapi kebahagiaan dan ketenangan jiwa yang tak terbanding. Kalau tidak masakan Rasulullah S.A.W sendiri bersolat tanpa jemu. Pasti ada ketenangan agung dibalik perbuatan Rasulullah S.A.W itu. Pasti ada nikmat agung di balik solat itu, pasti ada nikmat agung dibalik munajat itu.Pasti ada nikmat agung dibalik qiam di sepertiga malam terakhir itu. Itulah syurga dunia pastinya.

 

Aku lemah untuk berbuat semua itu. Aku ingin mencuba. Biar berdikit aku akan cuba gagahi, biar tenggelam timbul semoga menjadi benih yang akan membuahkan tabiat. Biar detik merdeka negara ku ke 51 ini, memerdeka jiwa ku dari onar dunia.  

 

Ya Allah, ampuni lah aku akan segala salah silap ku selama ini, kiranya salah ku itu aku sedari, mahupun yang aku tidak sedari ampunilah aku yang hina ini. Ya Allah, janganlah engkau jadikan aku ini berputus asa dengan rahmatMu Ya Allah, janganlah engkau jadikan aku ini lupa akan perintahMu Ya Allah. Tetapkanlah iman di hatiku ini, ketika sihat ku, ketika uzurku, ketika senang ku, ketika susahku, ketika lapang ku, ketika sempit ku. Jauhilah aku dari siksaan kubur dan siksaan api neraka. Rahmatilah junjungan nabi Muhammad S.A.W dan keluarganya serta para sahabat. Maha Suci Engkau dari segalah kekurangan yang dikabarkan oleh mereka yang tidak beriman. Perkenankanlah doa hambaMu ini Ya Allah. Amin ya Robbal Alamin.

Comments»

1. wisn - August 25, 2008

woow. aku jadi terinspirasi. kaya lagu ‘akhirnya’ dari gigi. thanks

2. malina_nur - August 28, 2008

Assalamualaikum ikhwan,..
Aku suka dengan apa yang ko cuba sampaikan..bagi aku, ia tidak membosankan..sedikit pun tidak…kerana didalamnya ada ilmu tentang keindahan Tuhan..mengapa perlu ada rasa bosan?..Walaupun penyampaian sering berlarutan…tapi ok lah tu!.

kali ni aku rasa ko ada perkembangan…tapi lain orang…lain hatinya..lain pemahamannya..lain cara yang disukainya…
bagi aku, kali ni..betul2 masuk dengan jiwa aku..
dan aku rasa..memandangkan blog ni ko bina adalah untuk share ilmu dengan semua, why not..ko ubah..perkataan “AKU” kepada “KAMI”…dengan itu, aku rasa kami semua sebagai pembaca dapat sama2 menyelami maksud yang ko sampaikan berbanding..ko memahaminya sendiri…

Perbanyakkan share of Hadis dan peringatan..sebab, bukan semua orang tahu..kongsikan dengan semua…dan bak aku kata tadi…BAWA KAMI DALAM PENYAMPAIAN KO…
dengan penggunaan kami..aku rasa, lebih berkesan bagi kami sebagai pembaca.

sekian…wallahu’alam bissowaf..


Leave a reply to malina_nur Cancel reply