jump to navigation

God Spot Activation? Wallahuaklam…… July 29, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
trackback

Aku sekarang adalah bahagian dari masa lalu ku,
Aku pernah pergi meninggalkan dirimu jauh melupakanmu,
Tapi lihatlah,
Diriku rapuh,
Tanpa dirimu tiada ertiku,
Hebatnya engkau tidak sedetik pun,
Pernah kau meninggalkan diriku,
Kusedari..Kerana dirimu kumampu berdiri tegak,
Seberat apapun beban di hadapan ku kini,
Kerana cintamu ku mampu berjalan tenang,
Sesulit bagaimanapun jalan yang kulalui nanti,
Pasti hanya dirimu,
Kaulah segalanya,
Ku jaga selalu,
Satu cintamu.

 

 

 

Beberapa minggu lalu saya telah menghantar e-mail kepada kenalan-kenalan, saya ingin mereka membaca lirik lagu Kerana Dirimu (Lagu dan Lirik Ciptaan: Cynthia Lamusu) Nyanyian Dato’ Siti Nurhaliza  Album: Hadiah Dari Hati. (Seperti yang ditulis di atas)

 

Kerana survey saya itu menggunakan bahasa pasar, maka ada bakal responden yang tidak mahu menjawap kerana mereka ingin tahu apa tujuan survey itu. Namun, tidak saya terangkan sebab musababnya, lalu memang tiada respon dari mereka itu (Pengajaran 1 – Setiap kerja itu perlu ada tujuannya).

 

Alhamdulillah, ada juga yang sudi menjawap. Pelbagai Jawapan di terima. Terima kasih banyak. Jawapan anda tiada benar atau salahnya, Cuma saya ingin memetik persepsi anda tentang lagu itu. Itu saja. (Pengajaran 2 – Jawapan jujur dari hati itu perlu)

 

Saya telah lama mendengar Album ini, banyak kali di dengar, tidak pernah terlintas pun untuk memikirkan sesuatu luar biasa. Lantas di dalam perjalan ke Kuala Lumpur, saya tersentak, dan lagu ini saya mainkan berulang-ulang kali. Benar kata hati saya, lagu ini bukan lagu dari seorang manusia kepada manusia yang lain. Tetapi lagu manusia kepada Tuhannya.

 

Lalu saya lakukan pencarian, tentang penulis liriknya. Cynthia Lamusu. Hampa, tidak bayak di temui. Saya ingin mengetahui, apakah agama Cynthia, mengapa dia menulis liriks sebegitu, apakah Ilhamnya? Dari internet saya hanya temui berita seperti, Pernikahan Cynthia Lamusu & Surya Saputra- Mereka akan berbulan madu di Mekah!. Jadi saya simpulkan dia seorang Islam. Apa yang mendorong dia menulis lirik sebegitu tidak saya ketahui.

 

Apa motifnya? Kenapa lagu ini begitu signifikan? Anda mungkin bertanya. Sebenarnya, tiada apa, Cuma saya mahu mengesahkan perasaan saya. Kenapa saat itu saya fikirkan lagu itu adalah lagu dari seorang manusia untuk tuhannya. Sedangkan sebelum itu saya tidak pernah berfikir sebegitu. Lantas saya ketika itu dengan mudah simpulkan bahawa, memang ketika itu saya mencari Tuhan. Malah saya kerap membaca buku-buku tentang agama, Jadi tidak hairan mengapa saya berfikir sebegitu. Malah album ini saya baru downloadkan kembali ke MP3 player saya, sebelum ini saya mendengar album Rintihan Zikrullah daru Ustaz Asri Rabbani. Jadi memang tidak pelik kenapa saya berfikir sebegitu.

 

Kerana itulah saya membuat survey, untuk melihat berapa ramai orang yang merasai apa yang saya rasa. Soalan paling penting adalah soalan nombor 6. Saya mahu mereka meluahkan pendapat mereka tentang lagu itu. Oleh kerana saya baru pulang dari kursus spiritual, agak sukar untuk mengelak persepsi responden di pejabat kerana mereka akan menyangka yang survey ini berkaitan dengan kursus yang saya baru hadiri. Ya, kalau berkaitan pun kebetulan saja, apa yang saya rasakan ini, berlaku lebih awal lagi. Justeru saya terpaksa membuat soalan nombor 1 hingga 5 supaya mereka tidak menganggap ini berkaitan dengan perihalan ketuhanan yang saya cari.

 

Ada responden yang dari soalan 1 sudah Jawap Tuhan atau Allah! Maka soalan 6 pun dijawap berkisar perkara Ketuhanan. Tepat sekali… mereka ini juga ada yang baru pulang dari kursus spriritual dan ada juga yang memang hari minggunya mengerjakan Umrah di tanah suci Mekah. Tidak hairan mereka menjawap begitu. (Pengajaran 3 – Dekat dengan Allah)

 

Ada responden yang menjawap perihalan ketuhanan pada soalan 6, walaupun soalan satu tidak di jawap begitu. Ya, mereka ini mungkin melihat semula dengan dalam makna lirik tersebut. (Pengajaran 4 – Melihat dengan mata hati)

 

Ada yang soalan 6 itu, di jawab dengan ketidakpuashatian dia, kerana dia tidak meminati Siti Nurhaliza. Menariknya, dia juga menyambung, kalau lagu ini memuji Tuhan ke, Ingatkan sesama muslim ke, maka dia akan suka. (Pengajaran 5 – Cerminan Agama itu pada pembawanya)

 

Sekali lagi terima kasih pada responden, tidak ada jawapan benar atau salah, Terima kasih banyak-banyak. Walaupun saya menginginkan jawapan dari kenalan bukan Islam. Namun tidak dapat di perolehi. Tidak mengapa. Apa yang ada, cukup untuk menjadi pengajaran buat diri saya.

 

Saya bukan manusia alim, bukan manusia genius, justeru jika ada salah silap. Maafkan saya. Terima kasih sekali lagi pada semua. Wallahuaklam.

 

Begitulah balasan e-mail saya bagi survey ringkas saya. Di sini ingin saya menyambung huraian pengajaran yang di perolehi dari survey ini. Huraian ini tiada kaitan dengan penulis lagu, penyanyi, survey dan responden. Hanya pandangan saya tentang inti pengajaran itu sendiri menurut akal yang terbatas jua ini.

 

(Pengajaran 1 – Setiap kerja itu perlu ada tujuannya).

 

Setiap perbuatan itu bukankah bermula dari niat? Hinggakan sembahyang kita, niat itu adalah salah satu rukun yang 13 itu. Maka, jika solat kita kerana suruhan orang atau untuk menunjuk baik, sudah tentu sia-sia sahaja usahanya. Namun, jika sudah setahun kita sembahyang, dan kita sendiri tahu yang niat kita itu 80% daripadanya terpesong. Haruskah kita berhenti sembahyang dan sembahyang apabila kita rasa kita akan berniat dengan betul sahaja? Tidak perlu sehingga begitu. Teruskan sahaja, siapa tahu suatu masa anda dapat betulkan niat anda lantas manambah-baikkan ibadah anda.

 

Saya pernah cuba menghafal doa lepas sembahyang kerana malu! Malu, jikalau dia paksa jadi imam nak berdoa pendek pun tidak tahu. Lantas saya cuba hafal doa lepas solat dalam kepayahan. Berbulan lamanya. Selepas hampir mengingat doa itu, saya menjumpai persepsi lain, persepsi yang menyedarkan yang doa itu perlu dihayati, perlu di kenal maknanya. Bukan ucapan bahasa arab yang kosong sahaja. Alhamdulillah, kini saya membaca doa itu dengan menghayati maknanya.

 

Jadi jika kita melakukan perkara baik, tapi niat yang salah, perlu kah kita berhenti? Dan menganggap itu sia-sia? Teruskan saja, jangan lupa sambil itu minta doa pada Allah supaya terus dikurniakan hidayah.

 

(Pengajaran 2 – Jawapan jujur dari hati itu perlu)

 

Di dalam hidup kita, sikap jujur pada diri sendirilah yang paling utama. Kita tahu siapa kita, kita tahu kita berbohong atau tidak. Mulut boleh berbohong, tetapi hati kita tidak. Namun, hati boleh berbohong jika ianya gelap!

 

Justeru, di dalam ibadah kita, kita tentu saja tahu dimana keupayaan kita. Apakah solat kita kerana di paksa? apakah rajin ibadah kita kerana angkuh? Kita saja yang tahu. Orang lain mungkin tidak tahu, namun, kita juga tidak perlu memberi tahu pada orang lain. Uniknya, apa yang terungkap dihati kita, apa yang tersurat di hati kita Allah Maha Mengetahui.

 

Oleh itu, perlukah kita berpura-pura atau berdrama dengan Allah? Di dalam surah As-Syams, Allah bersumpah demi Matahari, demi Bulan, demi Langit, demi Bumi, demi Siang dan demi Malam. Sumpah itu di akhiri dengan demi Jiwa dan penyempurnaan jiwa itu sendiri. Ayat itu disambung lagi, bahawa Allah yang mengilhamkan sukma kebaikan dan keburukan. Maka beruntunglah siapa yang mensucikannya, dan rugilah siapa yang mengotorinya.

 

Marilah kita bertanya, setiap hari pada diri kita yang kerdil ini. Sucikah hati dan jiwa kita? Ikhlaskah ibadat kita kehadrat Allah? Saya yang mengutarakan soalan disini adalah tidak lebih tahu dari anda sendiri. Namun, Allah Maha Mengetahui… Astarfirullahalazim. Ya Allah ampunilah dosa kami seluruhnya, Jauhilah kami dari siksaan api neraka. Amin.

 

(Pengajaran 3 – Dekat dengan Allah)

 

Tidak kah kita pelik kenapa Rasullullah S.A.W dan para sahabat, tidak jemu berqiamullail? Mungkin ibadat qiamullail itu wajib keatas Rasullullah S.A.W, namun amalan inilah yang menguatkan jiwa pejuang-pejuang Islam sehingga dapat membina empayar besar, dan membawa tersebarnya ajaran Islam sehingga ke Cina dan wilayah kita ini.

 

Signifikan kah ibadat kita itu kepada Allah? Kita tentu saja tahu, Allah bukan seperti raja yang perlukan sokongan dan junjungan daulat dari rakyatnya. Bukan seperti pemimpin diktator yang perlukan rakyatnya takut kepadanya akan hukuman dan ugutannya. Malah jika kita tidak mahu beriman pada Allah, tentu sahaja tidak ada sebarang kesan buruk pada Allah.

 

Pernahkah kita terdengar yang ada orang mencarikkan Al-Quran kerana kecewa dengan nasib hidupnya yang di layan secara buruk oleh suaminya? Lantas Quran dicarikkan dan ditulis, “kenapa di jodohkan aku dengan dia?”

 

Tentu saja kita pernah mendengar cerita gadis Islam murtad kerana mengenangkan riwayat hidupnya sebagai anak penoreh getah kaki mabuk yang kehidupannya susah yang teramat. Lantas ketika itu ia menyimpulkan Allah tidak menolongnya, Allah tiada diwaktu dia memerlukan Allah dan selepas berjaya belajar ke luar negeri, setelah rapat dengan golongan agama lain, dia memeluk agama itu?

 

Allah tidak jauh, malah Allah lebih dekat dengan kita dari urat leher kita sendiri. Seteruk mana kita derhaka, seteruk mana kita melupakan Allah, tetap Allah sayang kan kita dengan sifatnya yang Maha Pemurah. Pernahkah terlihat oleh kita apabila kita tidak mahu bersembahyang, tiba-tiba kita sesak nafas dan koma?

 

Pernahkah kita terlihat saintis barat yang terang-terang menolak kewujudan Allah, tiba-tiba hilang kebijaksanaannya? Pernahkah kita dengar orang yang bangun jam 2 pagi kerana mahu melihat perlawanan bola dan tidur kembali jam 4 pagi, kemudian bangun jam 8 pagi selepas itu lumpuh kerana terlupa menunaikan solat subuh?

 

Hakikatnya!!!! Kitalah yang lemah dan amat memerlukan Allah!!!!!!!!! Kita tidak tahu bila kita akan mati. Jadi perlukah kita menunggu hari tua untuk bertaubat? Hebat dugaan atau musibah yang menimpa kita, mungkin benar, namun sirah nabi membuktikan para nabi lebih dasyat diuji oleh Allah. Namun kerana sifat dan sikap para nabi yang tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah itulah membuatkan segala derita itu ada ubatnya. Ubatnya ialah dekatkan diri dengan Allah… melalui ibadat dan kepatuhan pada hukum hakam Allah.

 

Marilah kita dekatkan diri pada Allah, mungkin esok kita mula menghayati makna surah Al-fatihah…. Bulan depan makna bacaan tahiyat… hari ini sikit, esok sikit dan seterusnya bertambah baik. Insyallah.

 

Ya Allah, bimbinglah kami ke jalan yang Engkau redhai.. janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau tunjukki kami jalan yang lurus. Bantulah kami untuk mengingatimu ya Allah, untuk beribadat kepada mu ya Allah. Amin.

 

(Pengajaran 4 – Melihat dengan mata hati)

 

Seringkali, kita gagal melihat dengan mata hati, kita lihat siang berlalu malam berganti tanpa rasa apa-apa. Kita melihat burung terbang dan memuji kecantikan burung itu. Itu saja. Di dalam Al-Quran, banyak perumpamaan alam di jelaskan untuk membuktikan kebesaran Allah.

 

Namun bagaimana kita melihat semua ini? Berapa kalikah kita mengucapkan Alhamdulillah ketika kita terleka melihat pelangi? Ketika melihat bintang di langit, seringkah kita mengucapkan Allahuakbar sambil mengenangkan betapa besarnya kekuasaan Allah menciptakan Alam ini?

 

Ibu-bapa, apakah kita melihat anak-anak sebagai KWSP (Kumpulan Wang Selepas Pencen?). Tidak kah terlihat yang anak-anak itu cerminan diri kita? Tidakkah terfikir yang iman kita itu tidak mungkin diwariskan? Lantas, jika kita tidak berusaha mendekatkan diri dengan Allah dan memperbaiki ibadah kita, bukankah sikap itu akan dituruti oleh anak-anak kita? Malah lebih teruk lagi lekanya mereka kerana kesan sampingan dari dunia teknologi kini? Berapa malamkah kita bangun untuk beribadat kepada Allah dan berdoa?

 

Ya Allah, ampuni dosaku ya Allah, Engkau kurniakan aku anak-anak yang cantik ya Allah. Aku bersyukur kepada mu ya Allah. Aku cuba sedaya upayaku untuk mendidik mereka ke jalan mu ya Allah. Mungkin aku tidak tahu atau tidak gigih secukupnya untuk mendidik mereka, Ampunilah aku, isteriku dan anak-anakku ya Allah. Pandulah kami kejalanMu ya Allah. Lindungilah kami dari kelekaan dan kejahatan dunia yang menjauhkan kami dariMu ya Allah.

 

(Pengajaran 5 – Cerminan Agama itu pada pembawanya).

 

Jika kita seorang Islam, kita minum arak. Apa kata yang mereka bukan Islam? Apa alasan kita yang Islam yang turut minum arak ini?

 

Marilah sama-sama kita menjaga susila sebaiknya. Mungkin kita dulu pembuang bayi di tepi longkang. Marilah kita bersama-sama bertaubat dan berubah seluruhnya.

 

Di negara kita ini, kalau dilawat tandas-tandas awam, malah tandas di masjid-masjid, apa pandangan kita pada Islam? Adakah itu sifat Islam atau sikap alpa kita sebagai penganutnya?

 

Jika dilihat tandas dibarat! Tandasnya dilapik karpet!!! Apakah itu bermakna agama mereka itu lebih bagus atau sikap kebersihan diutamakan tanpa kompromi diamalkan?

 

Berstatus Islam di kad pengenalan bukanlah jaminan ke Syurga. Namun sikap dan penyucian jiwa itulah yang membolehkan kita memohon rahmat Allah. Semoga dengan Sifat Allah yang Maha Penyayang itulah yang akan membenarkan kita menjejak kan kita di Syurga Firdaus.

 

“Ya Allah, engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkau telah menciptakan daku dan akulah hamba Mu. Dan seboleh mungkin aku berusaha untuk menunaikan janjiku terhadap Mu, aku berlindung daripada perkara kejahatan yang ku lakukan, dan aku seringkali tidak mensyukuri kurniaan nikmatMu keatasku, dan seringkali tidak mengakui kesalahanku, maka ampunkanlah daku, sesungguhnya tiada yang mampu memberi keampunan kecuali Engkau.”

 

Ya Allah, dosa-dosa ku ini lebih banyak dari butiran pasir di tepian  pantai, lupa ku pada perintahmu umpama bayang-bayangku yang mengekori, Ampunkanlah dosaku ini, Jika hari ini aku mati, ampunilah dosaku seluruhnya ya Allah. Jika esok masih lagi untuk ku, Engkau  ilhamkanlah kepada ku agar setiap sedutan nafasku di turuti dengan Alhamdulillah, dan setiap hembusan nafasku di sulami dengan Allahuakbar. Jauhilah aku dari kelekaan dunia yang melalaikan, Anugerahkanlah aku nikmat beribadah kepada mu yang menenangkan. Hina benar kurasakan diri ini untuk menginjak kan kaki ke syurga mu, Lemah benar diri ini untuk melihat julangan api neraka mu..apatah lagi memasukinya ya Allah… Dengan rahmat mu Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi… ampunilah dosaku dan jauhilah aku dari siksaah kubur dan api neraka mu. Sesungguhnya Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau dan nabi Muhammad itu PesuruhMu. – Amin.

 

Wallahuaklam.

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: