jump to navigation

Fahami konsep melancong dapat beri hidayah July 27, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
trackback

Entri kali ini memaparkan tulisan En. Lokman Ismail yang di dapati daripada Berita Harian Online. Selamat Membaca.

SESUNGGUHNYA melancong boleh dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa dengan banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk dapat dilalui atau diperhatikan ketika berkunjung serta menziarahi sesuatu destinasi pelancongan.

 

Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46)

 

Jelas sekali tujuan melancong yang dianjurkan Islam ialah digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Minda pengembara hendaklah dibuka dan berdoa supaya Allah memberi hidayah serta kebaikan daripada aktiviti melancong itu.

 

Walaupun melancong lebih bersifat santai, tetapi tidaklah hingga kita lupa untuk berfikir kerana ketika merehatkan diri, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika melancong.

 

Sesiapa tidak dapat merasai sebarang minat terhadap sesuatu pemandangan atau keadaan sehingga terbuka minda dan merasai kehebatan ciptaan Allah, itulah tanda hatinya sudah mati dan minda menjadi tertutup.

 

Melancong bukan sekadar ingin berhibur. Sesiapa melancong hanya semata-mata mencari keriangan, tidak akan mendapat manfaat di sebalik suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti melancong sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.

 

Ketika melancong hendaklah menjaga nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang. Aktiviti pelancongan yang membabitkan perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang ingkar perintah Allah.

 

Firman Allah yang bermaksud: “Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.” (Surah Ali Imran, ayat 112)

 

Ketika melancong, sudah tentu apa yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa menjadikan seluruh dunia itu tidak sama daripada segi bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan dan kehidupan masyarakatnya.

 

Allah menyuruh supaya kita melihat setiap ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat daripada sudut keimanan. Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan.

 

Firman Allah yang bermaksud: “Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?” (Surah al-Mulk, ayat 3)

 

Pelancong seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan supaya dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan umatnya menimba sebanyak pengalaman untuk dimanfaatkan ke arah memperbaiki diri serta kehidupan.

 

Falsafah ini dapat difahami daripada maksud hadis Rasulullah SAW yang menyuruh manusia menuntut ilmu walau di mana saja. Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip. Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengetahuan.

 

Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh sahabat mengembara dan meninjau keadaan di Habsyah dan beberapa tempat lain bagi mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ.

 

Mengembara juga harus digunakan untuk meluaskan peluang perniagaan. Nabi Muhammad SAW pernah mengembara berniaga dari satu tempat ke satu tempat. Apa dilakukan Rasulullah SAW membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan pasaran ke seluruh dunia.

 

Sejarah mencatatkan antara punca kejayaan pedagang Arab dalam perniagaan ialah sikap suka mengembara memasarkan barang dagangan mereka. Pedagang Arab berniaga sehingga ke seluruh nusantara dan benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam disebarkan.

 

Melancong juga memberi kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat di tempat masih mundur. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama sendiri dan masalah jenayah berleluasa.

 

Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan berasa bersyukur dapat hidup di negara aman damai ini. Perkara ini dijelaskan Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya.

 

Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.” (Surah al-Anam, ayat 11)

 

Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa.” (Surah an-Naml, ayat 69)

 

Kita perlu insaf mempelajari perkara baru sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan mengenai setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama.

 

Dengan kata lain, melancong adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebab itu kita sering mendengar pakej pelancongan sambil belajar atau sekarang ini ada yang menyebut belajar sambil melancong. Ia membuktikan tujuan mencari ilmu lebih diutamakan dalam pakej pelancongan.

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: