Gambar yang membuahkan pelbagai emosi October 22, 2008
Posted by menadahhidayah in Uncategorized.2 comments
Gambar ini semua aku dapati dari Blog kawan ku yang bekerja di Arabsaudi. Berturut-turut aku melihat gambar ini, pelbagai emosi terbit dari diri ku seperti….
RINDU.. dari sudut hati yang terdalam.. seperti ada panggilan rindu yang menggamit…
SEDIH… mataku bergenang, melihat kemeriahan solat berjemaah disana, mengapa pula dibumi tercinta ini tidak pula begitu meriahnya.
BANGGA… biarpun hanya di bumi haram itu, wujud juga kemeriahan beribadat sebegitu rupa.
AZAM… Ya Allah, bukalah jalan dan permudahkanlah ia, agar dapat aku menjadi tetamuMu…. amin.
Tasbih kifarah October 14, 2008
Posted by menadahhidayah in Uncategorized.add a comment
Entri kali ini mengulas tulisan ‘taubat yang simple’ di http://keretamayat.blogspot.com/2008/10/taubat-yang-simple.html
Sekiranya anda ingin membaca entri asal, silalah ke blognya. Seperti diatas tu.
Tulisan aku ini, bukan nak mengulas detail secara ilmiah tulisannya. Cuma ingin bersetuju yang kita perlu sentiasa bertaubat. Tak kiralah siapa kita, apa pekerjaan kita, apa maksiat kita lakukan.
Banyak orang menganggap, termasuklah aku dulunya, kalau duk bertaubat lepas tu buat balik, bertaubat, buat balik.. tak kan Allah ampunkan.
Kalau ikut perangai dan hati kita sebagai seorang manusia, memang benarlah teori di atas. Tapi yang tentukan pengampunan tu bukanlah manusia, tetapi Allah. Dialah yang mempunyai Asmaulhusna… terlalu besar sifat-sifat Allah untuk disamakan dengan sifat manusia yang hina dina ini. Justeru siapa kita nak tentukan Allah ampun kan dosa apa dan tidak ampunkan dosa yang mana.
Dalam Al-Quran pun ada ayat yang menyuruh manusia supaya jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Jadi, kalau kita di datangi oleh mereka yang berdosa, dan bertanya kepada kita yang apakah mungkin Allah mengampunkan dia? Apakah jawapan kita? Sedangkan kita tau dia ahli maksiat?
Cakaplah kepadanya, Pengampunan Allah itu terlalu besar untuk diterima oleh logik akal kita, bertaubatlah sentiasa, dan minta lah Allah tunjuki jalan yang benar, Berdoalah setiap hari, bertaubat lah setiap hari tanpa jemu, Semoga Allah merahmati kamu.
Boleh kan kita nasihat begitu? Semoga dia kembali ke jalan lurus. Setengah orang begitu percaya bahawa di ditakdirkan menjadi ahli neraka. Mungkin benar juga, tetapi Allah itu Maha Adil, diriwayatkan dengan doalah kita boleh mengibah nasib kita. Jadi mengapa harus tunggu? Mengapa tidak berdoa setiap masa?
Ada juga mengatakan doa itu ada hijabnya, ada syarat-syaratnya akan dimakbulkan, benar, mungkin kerana itulah juga kita kena selalu bertaubat. Sentiasa membaca tasbih kifarah selesai apa jua pekerjaan atau urusan kita.
Lalu kita berdoa, semoga Allah makbulkan.
Logiknya ialah jika kita sentiasa bertaubat dan berdoa, itu semua amalan baik dan terpuji, hasilnya makbul atau tidak, tidak lagi menjadi penting. Kerana akal dan minda kita terhad, begitu jugalah keinginan kita, kita mahu sesuatu itu jadi.. maka sepantas kita mahu ia jadi, lalu kita mahu hasilnya terus menjadi! Apakah hak kita di dalam hal ini? Kita tidak berhak kerana itulah sifat Allah. Jika Allah menghendaki sesuatu itu jadi, makan jadilah ia. (Rujuk ayat Surah Yaasin).
Lalu, kita nak buat apa? Putus asa setelah 100 kali berdoa? Rugilah kita kalau Allah hanya akan makbulkan doa kita setelah 102 kali kita berdoa (mungkin juga Wallahuaklam)… Kesimpulannya.. kita tidak tahu bila Allah akan makbulkan doa kita, maka berdoalah sentiasa. Begitu juga dengan bertaubat, tidak di ketahui bilakah Allah akan ampuni kita. Maka bertaubatlah setiap masa sedaya upaya.
Sudah menjadi kebiasaan kita kini, menggunakan alasan kita sebagai manusia biasa untuk melupakan amal ibadat, membuat maksiat. Itu kita semua akui dan terima sebulat-bulatnya apatah lagi kalau terkena dekat batang hidung sendiri. Tetapi, mengapa pula tidak dijadikan kebiasaan bertaubat dan berdoa dalam hidup kita? Sedangkan sejarah Rasulullah S.A.W dan para sahabat telah terbukti kecemerlangan dalam kehidupan hasil amalan yang di perintahkan oleh Allah. Kita tahu tetapi kita seolah tiada daya untuk merubah diri sendiri kan? Ya, kita semua begitu.
Namun, boleh agaknya kita mulakan sedikit demi sedikit, ingatkan sesama kita. Biarlah yang mengingatkan kita pasal sembahyang kita yang hampir melawati waktu itu hanyalah seorang pondan yang kita pandang jijik. Namun, ingatan dia itu, adalah murni dan amat bermanfaat pada kita. Lantas kita ajak pondan itu sekali sembahyang, kalau terbuka hatinya, mungkin hari itu menjadi hari bersejarah apabila dia bertaubat sepenuhnya. Jika ajakan kita di maki dengan cercaan yang kita sendiri tak faham, senyumlah dan berdoa, semoga Allah menunjuki Engkau dan Aku kejalan benar. Dan pergilah sembahyang. Indah bukan? Hati dia tidak sakit, hati kita pun tidak.. kerana hati kita sangkut dan kita tayang kepada Allah semoga kita dan dia diampun kan.
Berikut, disediakan petikan dari blog di atas, maaf kerana terpaksa memadam tulisan arab tasbih kifarah, kerana ia menjadi lintang pukang. (Kelemahan diri kerana ..tidak pandai). Saya gantikan bahagian itu dengan ‘-Ayat Tasbih Kifarah-‘. Anda tanyalah pada rakan-rakan anda mahupun ustaz, tentang ayat nya di dalam bahasa arab.
Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut:
‘-Ayat Tasbih Kifarah-‘
melainkan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu”.
****
Daripada Abu Barzah Aslami RA berkata: Rasulullah SAW pernah menyebut pada hujung usia baginda apabila baginda hendak bangun meninggalkan sesuatu majlis:
‘-Ayat Tasbih Kifarah-‘
Maka berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah menyebut suatu ucapan yang mana tidak pernah engkau ucapkan sebelum ini. Berkata (Rasulullah SAW): “Ia merupakan kaffarah (penebus dosa) terhadap apa yang berlaku dalam majlis”
****
Di riwayatkan daripada Aisyah RA bahawa apabila baginda bangun daripada majlis, baginda akan membaca:
‘-Ayat Tasbih Kifarah-‘
Saya bertanya: kenapa tuan sering membaca doa ini?
Baginda menjawab: Sesiapa yang membaca doa ini pada penutup majlis maka akan di ampunkan kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam majlis tersebut.
Maksud Tasbih Kifarah yang diperolehi daripada http://zulkiplyharun.com/php/usrah.html adalah seperti berikut:
“Maha Suci engkau Ya Allah dan aku naik saksi Tiada Tuhan Melainkan Engkau
dan aku memohon ampun serta taubat kepadaMu”
Marilah bersama kita amalkannya – semoga mendapat manfaat.
Ilmu, ibadat mensejahterakan kehidupan October 9, 2008
Posted by menadahhidayah in Uncategorized.add a comment
‘Entri kali ini berkongsi tulisan Oleh Nik Salida Suhaila yang diperolehi daripada Berita Harian Online. Semoga mendapat manfaat.’
Untuk menjadi penghuni syurga perlu penuhi piawaian ditentukan Allah
TIADA siapa menginginkan kehidupan sengsara, derita dan penuh keperitan. Tetapi ada juga yang harus merasainya kerana itulah ditakdirkan Allah sebagai ujian. Kasih sayang Allah akan lebih terasa setelah Dia menghilangkan penderitaan jika kita berjaya melaluinya dengan tabah.
Bahkan, kita akan lebih menghargai kehidupan. Kehidupan sejahtera memang diimpikan semua, apatah lagi sejahtera di akhirat sana yang kekal abadi. Justeru, mencari kesejahteraan hidup di dunia semata-mata adalah merugikan.
Memang benar, akhirat belum tentu menjamin kesenangan semua orang kerana perhitungan Allah di Padang Mahsyar adalah pasti. Tetapi sebagai orang Islam, kita harus mengendalikan hidup di dunia dengan sebaiknya mengikut landasan syariat ditetapkan dengan harapan tugas di dunia membawa untung di akhirat.
Sejahtera merujuk kepada suatu keadaan yang baik, yang mana orangnya berada dalam kemakmuran, sihat dan aman damai. Kesejahteraan hidup adalah sesuatu yang penting dalam Islam sehinggakan ia menjadi ucapan kita kepada umat Islam lain hampir setiap masa dan ketika.
Lafaz salam iaitu ‘Assalamualaikum‘ yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu wajib hukumnya dijawab dengan doa juga iaitu ‘waalaikumsalam’ yang bermaksud salam sejahtera juga ke atas kamu. Malah ada yang jauh berkirim salam melalui perantaraan tanda kasih yang kukuh termeterai antara umat Islam.
Setiap kali selepas solat pula kita berdoa, “Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat dan jauhkanlah aku daripada azab api neraka.”
Dalam mencari kesejahteraan hidup, setiap manusia perlu mengetahui bahawa rasa selesa dan bahagia serta cukup dengan apa yang ada semata-mata bukanlah tanda hidup sejahtera. Sebaliknya, aspek dalaman dan luaran perlu dilengkapi sewajarnya.
Aspek dalaman dimaksudkan seperti kesihatan tubuh badan dan mental yang waras. Sementara aspek luaran pula ialah seperti ekonomi yang baik, kemampuan memenuhi keperluan masyarakat, bebas daripada ancaman bahaya jenayah, kebebasan asasi yang dipelihara, saling hormat, lengkap-melengkapi dan mengambil berat antara satu sama lain, alam sekitar yang kurang pencemaran serta kaya sumber asli.
Melihat kepada amalan ucapan dan doa untuk kehidupan sejahtera, kita melihat pentingnya kesejahteraan hidup. Sebagai umat Islam, kita bukan hanya hidup di dunia, tetapi juga di akhirat.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan ia Maha Kuasa untuk membalas amalan kamu dan Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat.” (Surah al-Mulk, ayat 2)
Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin menceritakan kesejahteraan dalam syurga di akhirat kelak dengan berkata, ciri-ciri kebahagiaan di akhirat boleh dibahagikan kepada empat iaitu keadaannya kekal abadi selama-lamanya, kegembiraannya berkekalan dan tiada langsung kesedihan, sebab itu semua penghuni syurga adalah orang muda, tiada yang tua kerana kemudaan adalah kegembiraan serta tiada lagi kejahilan, kerana manusia sudah dengan pasti mengetahui yang haq setelah melalui kematian, hari kiamat dan hisab di Padang Mahsyar dan tiada lagi kemiskinan, kerana kekayaan yang diperkenankan Allah adalah petanda kehidupan yang sejahtera.
Allah berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap jiwa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat akan disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia beruntung. Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)
Tetapi perlu diingat bahawa syurga itu milik Allah, jika berhasrat untuk menjadi penghuni syurga kita perlulah mengikut syarat dan piawaian yang ditentukan Allah, iaitu melakukan apa diperintahkan, menjadikan Islam sebagai aqidah dengan mengingati dan memahami Rukun Iman, menjadikan Islam sebagai syariat dengan mengingati dan menghayati Rukun Islam.
Selain itu hendaklah mengamalkan hukum yang ditentukan Allah kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Islam hendaklah menjadi ibadat kerana ibadat bukti akidah kita kepada Allah serta menjadikan Islam sebagai akhlak dengan mencontohi Rasulullah SAW.
Sempena Syawal ini, molek benar andai kita bertekad untuk mencari kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Mengharungi hidup di dunia yang penuh tipu daya sesungguhnya menjadikan kita sentiasa berhati-berhati kerana tidak rela menjadi si dungu yang tertipu dengan mudah.
Umat Islam perlu jadikan ilmu sebagai perisai menghadapi tentangan hawa nafsu yang datang bersilih ganti setiap masa sehingga kadangkala tidak memberi ruang untuk kita mengingati Dia. Paling penting, jadikan Islam sebagai akidah, syariat, ibadat dan akhlak, semoga kita sentiasa terpelihara di bawah lindungan-Nya. Sesungguhnya Islam adalah cara hidup.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)