jump to navigation

Tajdid Iman: Tangis insaf, zikir hidupkan jiwa mati June 30, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
2 comments

Assalamualaikum, Enti kali ini ingin berkongsi karya Dr Juanda Jaya yang boleh di dapati di Berita Harian Online.

Air mata takut hari pembalasan untuk tambah ilmu lebih mahal daripada isi dunia

DUA belah mata boleh menangis, tetapi hati tetap reda atas ketentuan-Nya. Demikianlah keadaan orang Mukmin yang bersedih. Tawa dan tangis, gembira dan sengsara, nikmat dan ujian semuanya adalah lumrah kehidupan.

Seseorang itu tidak mungkin hanya melalui satu episod dalam kehidupannya, sedih dan menangis untuk selama-lamanya. Semua akan datang dan pergi silih berganti, tiada yang kekal di dunia ini.

Orang beriman berada di atas batas pertengahan, tidak berlebih-lebihan mengungkapkan perasaan yang bergejolak di hati. Inilah yang disebut sebagai jiwa hamba yang zuhud. Apabila mendapat nikmat, tidak terlalu gembira dan jika diserang musibah tidak pula terlalu bersedih. Semua dikembalikan kepada ketentuan Allah semata-mata.

Menangis adalah suatu ungkapan perasaan normal pada diri manusia. Biasanya manusia menangis atas sebab tertentu. Mungkin berduka kerana sudah kembali kepada Allah seseorang yang mereka kasihi. Kerana rindu yang menyeksa kepada orang disayangi.

Begitu juga orang akan menangis apabila menahan sakit, tidak kira sakit kerana dilukai perasaannya ataupun sakit pada zahir tubuh badannya. Orang akan menangis apabila kehilangan harta, diseksa dan dizalimi, diusir atau dihina peribadinya dan dimalukan di khalayak ramai.

Menurut al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah, tangisan boleh diperincikan menjadi 10 jenis mengikut pelbagai maksud dan tujuan. Tangisan kasih sayang, ketakutan, gembira, kegundahan, cinta dan rindu, kesedihan, tidak berdaya, kemunafikan, orang upahan dan tangisan ikut-ikutan.

Satu tangisan yang istimewa dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya. Tangisan ini tidak bersifat melemahkan semangat, bahkan ia boleh menghidupkan jiwa yang sudah lama mati. Ia tidak mendatangkan rasa putus asa dan kesakitan, bahkan air mata ibarat gelombang membangkitkan rasa optimis, kecekalan dan azam bergelora.

Tangisan itu membawa satu janji untuk hidup lebih bererti dan ia mampu mencelikkan pandangan mata hati meneroka alam lebih jauh lagi. Alam ghaib tidak nampak di mata kasar, hanya hati yang beriman boleh merasai kebenarannya. Tangisan itu dianugerahkan kepada Nabi dan Rasul, syuhada dan orang salih. Mereka berhak mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan, selain perlindungan-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan seseorang yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sendirian, lalu berlinanganlah air matanya kerana takutkan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Tangisan itu mendatangkan kelembutan hati dan membangkitkan rasa takut kepada Allah. Saidatina Aisyah Ummul Mukminin menangis ketika membaca ayat al-Quran dalam sembahyangnya, yang bermaksud: “Maka Allah memberi kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka.” (Surah al-Tur, ayat 27)

Dan menangis pula ketika membaca ayat Allah yang bermaksud: “Jika Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu. Dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Maidah, ayat 118)

Saidina Umar al-Khatab berkata: “Seandainya ada seruan dari langit yang mengatakan: Wahai manusia, sesungguhnya kalian semua masuk syurga, kecuali seorang. Tentulah aku amat takut kalaulah orang itu adalah diriku.” Maka beliau pun teresak-esak demi membayangkan kengerian peristiwa itu.

Saidina Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya aku menyaksikan sahabat Rasulullah SAW, tetapi kini aku tidak menemukan lagi orang seperti mereka. Sesungguhnya mereka berpagi-pagi dalam keadaan yang kusut, mata yang bengkak kerana menangis ketika qiyam pada malam hari. Mereka membaca al-Quran sambil berdiri, duduk dan berbaring pada lambung mereka. Mereka berzikir dengan tubuh yang bergoncang bagaikan pohon ditiup angin kuat sedangkan mata mereka basah oleh air mata sehingga membasahi pakaian mereka. Demi Allah, seolah-olah keadaan umat sekarang seperti umat yang semalaman dalam keadaan lalai.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku belum pernah melihat sesuatu yang boleh menyebabkan orang yang tidur terbangun lantas lari daripada satu ancaman seperti ancaman neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Malam yang panjang itu sebenarnya ada bahagian untuk melembutkan hati, ada ruang mengadu kepada Allah, ada peluang mengetuk pintu maghfirah-Nya, ada kesempatan meminta perlindungan daripada azab neraka. Tetapi manusia yang lalai sudah melepaskan peluang keemasan itu untuk sekadar menikmati mimpi yang sebenarnya tidak dapat memuaskan hati.

Untuk mencapai darjat iman yang tinggi seperti sahabat Rasulullah SAW, tentu banyak rintangan yang harus dihadapi. Malas dan leka dengan permainan serta hiburan membuat hati manusia keras, ditambah lagi kurangnya ilmu, penghayatan mengenai jalan mendekatkan diri kepada Allah.

Kesibukan memuaskan nafsu syahwat terlalu mengganggu kekhusyukan hati. Akhirnya kelalaian itu menjadi kebiasaan, bagi yang sudah terbiasa akhirnya bukan menjadi suatu keaiban lagi selepasnya. Semakin lama dirinya semakin tenggelam kealpaan. Bahawa kita perlukan pertolongan Allah kerana hanya Allah yang berkuasa menyelamatkan manusia daripada kejahatan dirinya sendiri.

Allah berfirman menerusi lisan Nabi Yusuf yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Apabila nafsu sentiasa menyuruh berbuat maksiat, lalai dan menunda amal maka keraslah hati dan keringlah mata daripada air mata taubat. Jika berdiri untuk sembahyang, akalnya menjelajah hingga ke seluruh ruang pemikiran yang terpendam dalam memorinya. Barang yang hilang pun boleh diingat di manakah tempat menyimpannya.

Maka terbukti sembahyangnya kosong, hatinya hampa, fikirannya tidak menumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah. Bagaimanakah matanya boleh menangis, hatinya boleh takut dan akalnya boleh tunduk di hadapan Maha Pencipta?

Begitu juga ketika membaca ayat al-Quran, ia hanya semata-mata untuk pahala, kerana ilmunya belum sampai kepada penghayatan yang mendalam terhadap isi kandungan al-Quran. Padahal Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dalam kesedihan. Maka menangislah apabila kamu membacanya. Jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. Dan elokkan suara saat membacanya kerana siapa yang tidak melagukannya dia bukanlah termasuk golongan kami.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Ya’la dan al-Baihaqi daripada Saad bin Abi Waqqash)

Rasulullah SAW pernah meminta Abdullah bin Mas’ud untuk membacakan al-Quran kepada Baginda. Beliau membaca awal surah al-Nisa hingga ke ayat 41 dan beliau melihat Rasulullah SAW menitiskan air mata.

Abdullah bin al-Syakir berkata: “Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika Baginda bersembahyang, sementara dari dalam tubuhnya terdengar suara seperti air yang mendidih kerana tangisan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Bagaimana jika air mata tidak juga mahu keluar, puas sudah hati memaksa sedih supaya kekhusyukan boleh singgah, walaupun sekejap. Kesilapan apakah yang dilakukan hamba Allah yang tidak dapat menangis ini?

Pertama, kerana ceteknya ilmu sehingga hati dan akalnya tidak dapat meneroka lebih jauh memikirkan keagungan Allah. Kedua, kerana dirinya tidak merasai kesusahan ujian dan musibah, segalanya berjalan dengan aman dan lancar dalam kehidupannya sehari-hari.

Ketiga, berlebih-lebihan dalam bergembira, bergurau dan bermain-main. Keempat, kurang muhasabah dan bertafakur melihat kelemahan dan kekurangan diri. Dan yang kelima, berlebihan pula membanggakan amal sehingga mematikan rasa takut kepada Allah.

Menangis tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lemah bahkan menangis kerana takut kepada Allah boleh melonjakkan semangat seorang hamba untuk mengorbankan segala-galanya yang dimiliki demi Tuhannya.

Bukankah syuhada menumpahkan darahnya kerana meninggikan kalimah Allah, biarlah kita mulakan ia dengan menitiskan air mata kerana Allah, itu saja yang termampu kerana harga setitis air mata itu lebih mahal dari dunia dan segala isinya. Memang sungguh berbaloi!

Surah Al Fatihah – Salah satu rukun dalam solat. June 21, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
add a comment

Entri kali ini, ingin mengingatkan aku tentang prihalan makna bacaan Al-fatihah, semoga dengan makna ini di ketahui, maka lebih jelas bagiku untuk mendalami solatku.. Amin.

 

سُوۡرَةُ الفَاتِحَة

Surah Al-Fatihah


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (١)

(1) Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

 

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢)

(2) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.

 

 

ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣)

(3) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 

مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤)

(4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).

 

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)

(5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦)

(6) Tunjukilah kami jalan yang lurus.

 

صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

(7) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

 

Doa Selepas Solat yang cuba ku hayati. June 20, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
add a comment

Berikut adalah doa lepas solat yang di amalkan semoga mendapat manfaat. Maaf kerana tulisan arabnya tidak dapat disertakan disini kerana kekurangan kemahiran penulis blog.

 

 

Segala puji bagi Allah, sesuai dengan nikmat-nikmatnya yang sejajar dengan anugerah tambahanNya.

 

Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian selayaknya bagi keagungan zatMu dan kebesaran kekuasaan Mu.

 

Ya Allah, cucurilah kesejahteraan ke atas junjungan kami Muhammad S.A.W mencakupi orang-orang terdahulu dan terkemudian. Dan anugerahkanlah keselamatan kepadanya.

 

Restu Allah, mudah-mudahan dikurniakan kepada para pemimpin kami dari kalangan para sahabat Rasullullah sekaliannya.

 

Ya Allah, hidupkan kami dengan iman, kumpulkan kami dengan iman, masukkan kami kedalam syurga bersama iman.

 

Berkat rahmatMu, hai Yang Paling Pengasih diantara yang mengasihani.

 

Ya Allah, tolonglah kami untuk mengingati Mu, bersyukur kepada Mu dan melakukan ibadah sebaiknya untuk Mu.

 

Ya Allah, kami pohonkan kepadaMu petunjuk, ketaqwaan diri dan kecukupan.

 

Ya Allah, terimalah solat kami sepenuhnya dan ampunkanlah dosa kami semuanya. Dan janganlah Engkau siksa kami biarpun sampai hari kiamat nanti. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa diatas segala sesuatu.

 

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan ibu bapa kami, rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka mendidik kami dengan baik sejak kecil.

 

Ya Allah, hidupkanlah kami seperti kehidupan para ulama, matikan kami seperti kematian para syuhada dan kumpulkan kami dalam kumpulan para aulia’, dan masukkan kami ke dalam syurga bersama para nabi A.S.

 

Wahai Tuhan kami, janganlah engkau pesongkan hati kami setelah Engkau tunjuki kami. Berikanlah kami dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Tuhan Maha Pemberi. Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa-dosa kami dan keterlanjuran kami dalam segala urusan kami serta teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.

 

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kami, hapuskan kejahatan kami dan matikan kami bersama orang-orang yang baik.

 

Ya Allah, berikan kepada kami di dunia ini,  kebaikan dan di akhirat juga kebaikan, serta selamatkan daripada api neraka.

 

Ya Allah, sudahilah ajal kami dengan kesudahan yang baik, janganlah Engkau sudahi Ya Allah dengan kesudahan yang buruk.

 

Selawat Allah ke atas junjungan kami, Muhammad ahli keluarga dan para sahabatnya serta salam sejahtera, Maha Suci Tuhan.

 

Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan yang disifatkan oleh mereka (orang kafir), salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji hanya untuk Allah, Tuhan semesta Alam.

Aku dan pelajar AF sama saja… (Tidak fokus dan main-main) June 20, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
add a comment

Yezzaa… aku juga menonton AF, paling kuminati komen pengkritik, lepas itu aku pula menjadi pengkritik harian mereka apabila aku menonton diari. Pelajar ini main-main, pelajar itu tak fokus, pelajar itu harap glamour saja….

 

Minggu berlalu, setelah sama-sama mengikuti kelas mereka bersama Fauziah Nawi dan kebanyakkan komen pengkritik begitu melekat di hatiku. Sampai lah satu minggu aku sendiri malu.

 

Kenapa?

 

Kerana sebelum AF bermula aku sudah mempunyai kesedaran, bahawa doa lepas solat ku hanya sekadar melepas batuk ditangga! Tidak ku fahami apa butir perkataan arab ku luahkan. Lantas sekadar ala kadar dan cepat-cepat aku raup tanganku dengan harapan Allah memakbuli doaku. Mana mungkin…. Bisik hatiku.

 

Lantas ku dapatkan sumber dari buku kecil terbitan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan. Di dalamnya ada doa lepas solat. Ku hafali dan kuhayati maknanya. Tetapi aku sudah tua, hafalan aku begitu lembap…..

 

Kini AF sudah habis, aku masih dengan doa aku yang tidak habis lagi ku hafal! Memalukan!!!!!

 

Kalau budak AF yang diberi lebih 10 lagu boleh ingat kenapa aku tidak? Sedangkan aku hanya satu doa yang seharusnya aku ingat… dan seharusnya aku dapat hayati kerana itu permohonan aku kepada Yang Maha Kuasa, lima kali sehari. Aku terkesima, kerana aku tidak fokus dan tidak menghayati … malah aku mempermainkan permohonan ku kepada Allah! Bagaimana Allah mahu memakbulinya? Maha Suci Allah dengan limpahan sifatnya Yang Maha Penyayang… semua hamba nya mendapat limpahan sifatNya ini. Namun mungkin aku tidak mendapat limpahan sifatNya Yang Maha Mengasihani… salah diriku yang alpa juga.. Ampunkan dosaku Ya Allah.

 

Kini sebahagian doa saja ku hafal, tanpa buku kecil itu, susunan doaku tunggang terbalik, Sedih… tapi ku bulatkan tekad, ku teruskan usaha, biarlah sampai setahun pun, aku akan cuba menghafal sampai mahir. Kerana aku tidak mahu terus berdoa kepada Allah tanpa ku tahu butiran permintaan ku. Astarfirullah.

Hadiah Berharga June 6, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
4 comments

Entri kali ini ingin mengucapkan terima kasih sebenarnya kepada En. Ghazali Abd. Aziz , beliau telah menghadiahkan Mushaf Tajwid (Beserta terjemahan ke dalam Bahasa Malaysia). Dua tahun dahulu, aku hanya tahu perkara ini daripada seorang kawan. Tidak ku tahu apa kelebihannya.

Mushaf ini amat bagus kerana ia mengandungi hukum Tajwid pada ayat Qurannya yang menggunakan warna-warna berbeza. Mad kadar panjang nya 6 harakat diwarnakan dengan warna perang manakala mad yang 4 atau 5 harakat diwarnakan dengan warna merah. Ikhfa’ ditandakan dengan warna hijau. Amat membantu buatku yang buta tajwid ini.

Kalau tak silap, Mushaf ini berharga sekitar RM130 di kedai buku sekitar Jalan Tunk Abd Rahman di KL. Besarnya sedikit kecil dari saiz A4. Ada juga version kecil, malah lebih kecil dari saiz separah A4. Harga dalam lingkungan RM60. Tetapi terjemahan ia menggunakan Bahasa Indonesia.

Terfikir oleh ku, selama ini kalau kita membaca Al-Quran, kita hanya membaca sahaja tanpa mengambil tahu apa isi kandungannya. Sehebat mana hafalan kita pada surah-surah lazim, berapa surahkan yang kita fahami maksudnya?

Aku alpa, malah surah-surah lazim pun hanya 2-3 kerat sahaja yang dihafal. Itu pun tidak ku faham maknanya.

Lantas disini aku ingin lontarkan idea, supaya dapat kita fikirkan bersama. Boleh dijadikan Mushaf ini sebagai hadiah perkahwinan ataupun salah satu hantaran atas dulang hantaran. Telah ku mulakan kepada seorang sahabat ku. Semoga dia beroleh manfaat. Ku hadiahkan surat-surat cinta dari Pencipta setiap manusia, mudah-mudahan dengan menghayatinya dia menjadi hambaNya yang solehah.

Untuk En Ghazali (http://ghazaaz.blogspot.com/), Terima kasih tak terhingga, semoga hidup anda sekeluarga sentiasa diberkati Allah. Amin.

Buku belajar bahasa arab June 6, 2008

Posted by menadahhidayah in Belajar Bahasa Arab.
add a comment

Buku ini di cadangkan oleh En. Zul. Tajuknya Modern Literary Arabic oleh David Cowan. Agak sukar bagi aku memperolehi buku ini, kerana pesanan aku menerusi Amazon.com menemui jalan buntu. Amazon enggan menghantar di alamat yang aku beri. Pesanan menerusi borders juga hampa. Alhamdulillah apabila Kinokuniya sudi menolong. Setelah sebulan lebih kurang, buku ini sampai di KLCC dengan harga RM118.76.

Minyak naik !!!!! Petrol 78 sen dan Diesel RM1. June 6, 2008

Posted by menadahhidayah in Komentar Isu Semasa.
add a comment

Perbagai pihak memberi ulasan daripada kita-kita yang minum teh tarik di kedai kopi sehinggalah kepada jutawan internet, pakar syariah dan bekas perdana menteri di dalam blog-blog mereka.

 

Terlalu perit kenaikan ini, memang diakui oleh kita semua, tak kiralah jika kita ini bergaji besar atau pun kecil. Sama saja. Orang bergaji besar nasik lemak mereka berharga RM4.50 sepinggan kerana harga restoran yang rekaan dalamannya begitu selesa, sudu garpu stainless steel, harga hawa dingin juga sudah dimasukkan kedalam nasi lemak itu.

 

Orang bergaji kecil hanya membeli nasi lemak RM1.00 kerana hanya bersambal bilis dan telur (yang tak sampai pun tiga perempat daripada sebutir telur!).

 

Katakan akibat kenaikan minyak ini harga Nasi lemak orang bergaji besar naik sehingga menjadi RM5.50 sepinggan dan nasi lemak orang bergaji kecil naik sehingga RM2.00.

 

Kenaikannya tetap sama, semua terasa.. kenaikan RM1.00 itu. Bahkan yang lebih perit terasa adalah orang berpendapatan kecil tapi bernafsu untuk berbelanja besar! Hanya mampu membeli nasi lemak RM2.00, tetapi disebabkan mahu mempunyai status membeli nasi lemak RM5.50. Sekadar analogi untuk difikirkan..

 

Ia, itu realiti kini, lihatlah berapa ramai yang muflis sedangkan berpangkat eksekutif muda. Berapa ramai pula yang perangainya meminjam disana, kabus hutang disini, dan pinjam pula disinun.

 

Kita semua berpotensi menjadi Jutawan! Tapi perangai berbelanja melebihi pendapatan ini membuatkan kita sukar menjadi jutawan. Sebabnya jutawan membelanjakan wang mereka kurang daripada pendapatan mereka.

 

Jikalau seseorang jutawan itu mempunya wang 2 juta, dan setiap bulan di belanja kan suku juta, selepas 8 bulan.. wang nya akan habis!

 

Tetapi jika seorang bergaji kecil, Hanya RM2000 sebulan, setelah berbelanja dengan berhemat, mempunyai wang lebih RM200 sebulan, lalu ia simpan di bank. Selepas 8 bulan ia mempunyai simpanan RM1600. Nah dia lagi kaya berbanding jutawan bankrupt diatas!

 

Ia, semua orang tahu mengenai perkara ini, tapi berapa ramai sanggup mengamalkannya? Apa yang perlu diamal? Perancangan kewangan. Kita perlu rancang… banyak tip-tip berguna di tulis oleh penulis popular seperti Azizi Ali dan lain-lain. Malah kini buku-buku bahasa melayu juga banyak membicarakan tentang ini.

 

Di sertakan disini, nasihat Datuk Suret Singh dari ‘ Road Safety Department’ yang tersiar di dalam The Star 6 June 2008. Katanya, sebagai panduan umum, memandu pada 90 kmsj adalah kelajuan yang optimum. Jika anda sudah biasa memandu di lebuhraya pada 110 kmsj, cuba memandu pada 90kmsj. Anda akan rasai penjimataannya.

Betulkah tip ini? Mari kita cuba bersama.

 

Dalam kerancakan Perbankan Islam di Malaysia ini, kita harus bersyukur kerana ada pinjaman yang tidak menindas. Ingin info lanjut? Layari www.zaharuddin.net. Banyak ilmu-ilmu menarik disitu. Tetapi sedih juga apabila melihat ramai yang memanipulasikan kebaikan produk perbankan islam ini, maklumlah cas denda lewat bayarnya murah!

 

Bila tiada produk perbankan islam yang halal, kita menyalah kan kerajaan atau sesiapa saja, bila ada pula, kita pula yang lambat bayar! Bagaimana agaknya bank ini mahu berkembang, sudah lah pungutan untungnya tidak menindas kita sebagai pengguna.

 

Kenapa harus jadi begini? Adakah kerana perangai kita yang membelanjakan wang melebihi pendapatan kita? Sama-sama kita siasat.

 

Kerana harga barang dijangka akan naik tak lama lagi, kita tiada pilihan…. Kita menyalak marahkan bukit, bukit tak kan runtuh tapi kita juga yang di baling batu!

 

Kita marahkan perlbagai pihak sebab harga minyak naik, harga minyak tetap naik tak kan turun, tapi esok lusa, kita punya nasi lemak pula naik dari RM2.00 jadi RM3.00!!!

 

Rancanglah kewangan anda untuk kebaikan hari esok dan ingatlah ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

 

- Peringatan ini untuk diriku, juga mereka yang sudi mengambil manfaatnya, Semoga mendapat manfaat.

 

- Belajarlah tentang produk-produk Perbankan Islam. Dan berilah sokongan sewajarnya.

 

- Just my 20sen.

Assalamualaikum & Salam Sejahtera! June 6, 2008

Posted by menadahhidayah in Uncategorized.
Tags:
1 comment so far

Dosa ku seluas lautan, Rahmat Allah seluas langit terbentangAku insan yang berdosa, blog ini ku tulis untuk aku mendekat kan diri pada Yang Esa. Ketakutan ku adalah kealpaan ku yang di leka nikmat dunia, Harapan ku adalah sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang.

Kalian yang membaca ada lah temanku, nasihat kalian, teguran kalian, dakwah kalian tentu sekali membantu aku untuk mendekatkan diri pada Allah. Terima kasih tak terhingga.. Semoga Allah memberkati. Amin.